Monday, April 19, 2010

Budak Gembala dengan Pohon Ara

Budak Gembala dengan Pohon Ara


Pada zaman dahulu, binatang, pokok dan manusia boleh bercakap antara satu sama lain. Di sebuah kampung kecil terdapat sebatang pokok ara di sebuah padang rumput yang luas menghijau. Pokoknya tinggi tegap. Daunnya lebat sehinggakan tiada cahaya yang dapat menembusi rimbunannya. Orang selalu datang berteduh di bawah pokok tersebut pada hari panas dan berbual-bual seketika dengan pohon itu. Pokok ara yang tua memang bijak bistari kerana usia dan pengalamannya.

Pada suatu hari budak gembala duduk berehat di bawah pokok. Badannya terasa panas dan letih setelah seharian bekerja di bawah pancaran terik matahari. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa melegakan kepenatannya. Matanya mula mengantuk. Dia pun berbaring lalu terpandang dahan-dahan pokok di atas.

Budak gembala ini memang agak sombong orangnya. Dia selalu bercakap besar tentang ternakannya yang cepat membiak kerana kemahirannya. Dia begitu terperanjat melihat buah pokok ara yang kecil.

Budak Gembala : Pokoknya tinggi tegap. Buah dan daunnya kecil pula. Semua orang kata pokok ini bijak, macam mana buahnya kecil pula ?

Pokok Ara mendengar segala yang dikatakan oleh budak gembala. Dia diam sahaja. Walau bagaimanapun ia menggoyang-goyangkan daunnya supaya angin sepoi-sepoi bahasa bertiup. Budak gembala mula berdengkur.

“Plink”

Sebiji buah kecil jatuh betul-betul di tengah dahinya. Budak gembala tersentak dari tidurnya.

Budak Gembala : Aduh! Aku baru nak tidur.

Dia merunggut sambil mencapai buah itu. Tiba-tiba dia terdengar ketawa kecil

Pohon Ara : Sakit ?

Budak Gembala : Tidak, tetapi terjaga juga aku dibuatnya.

Pohon Ara : Biar ia menjadi pengajaran kepada budak yang sombong. Awak ketawakan saya bukan? Sebab buah saya kecil?

Budak Gembala : Yalah. Macam mana orang kata awak bijak? Mengejutkan orang daripada tidur! Perbuatan bijak ke itu?

Pokok ara ketawa lagi.

Pokok Ara : Sahabatku, berlagak sombong itulah yang tidak bijak. Awak berteduh dan berehat di bawah rimbunan daun saya. Buah saya mungkin kecil tetapi tengoklah betapa sempurnanya ciptaan alam. Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada kepala awak jika buah saya sebesar buah kelapa ?.

Budak gembala terdiam. Penjelasan itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

Pokok Ara : Orang yang tidak sombong boleh mempelajari banyak perkara dari keadaan sekeliling.

Tambah pokok ara dengan lembut.

Budak Gembala : Teruskan Encik Ara.

Pokok Ara : Mulalah berkawan dengan segala yang ada di sekeliling awak. Kita saling memerlukan. Lihat lebah, mereka membantu bunga saya menjadi buah. Dan burung? Mereka membuat sarang di antara daun-daun saya. Sehari suntuk mereka berusaha keras mencari ulat untuk makanan anak mereka. Awak tahu apa maknanya itu semua kepada saya?

Budak Gembala : Tidak. Apa dia?

Pokok Ara : Ulat tadi memakan daun saya. Jadi burung-burung itu adalah kawan saya. Mereka membantu awak juga. Burung-burung mengawal binatang yang merosakkan rumput dan daun. Jadi kambing biri-biri awak mempunyai cukup rumput dan daun untuk dimakan. Dan bukan itu sahaja.

Budak Gembala : Apa lagi Encik Ara?

Pokok Ara : Lihat lapisan dedaun di sekeliling kaki awak itu. Cacing akan keluar dari tanah untuk memakannya. Udara akan masuk ke dalam tanah melalui lubang yang dibuat oleh cacing dan menguatkan akar saya. Itu menguatkan saya lagi. Nampak tak ?

Budak Gembala : Ya, saya nampak sekarang. Maafkan saya Encik Ara kerana mentertawakan awak.

Pokok Ara : Sudah. Pergilah balik. Bawa biri-biri awak sekali

Budak gembala itu tidak mungkin berubah dalam masa semalaman. Yang jelasnya dia sedar bahawa kita saling memerlukan di dunia ini

Diambil dan diubahsuai dari buku Ekologi Pokok

Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka


No comments:

Post a Comment